Sunday, June 12, 2011

PERMOHONAN SECARA ONLINE KEMASUKAN KE SEKOLAH SENI MALAYSIA 2012

KLIK PADA GAMBAR DI ATAS UNTUK KE SISTEM ONLINE TERSEBUT
(PASTIKAN ANDA MENGGUNAKAN INTERNET EXPLORER UNTUK MEMUDAHKAN CAPAIAN)

Sekolah Seni Malaysia


LATAR BELAKANG
1. Peranan seni dalam mewujudkan masyarakat dan negara yang bertaraf tinggi atau bertamadun telah diakui dan diiktiraf oleh negara. Seni merupakan manifestasi tamadun kehidupan sesebuah negara.  Teater, Seni Tari, Muzik, Seni Halus, Sinematografi, Seni Halus dan sebagainya adalah prinsip asas yang diamalkan dalam seni dan pelengkap kepada kehidupan berkualiti. Semua negara maju di dunia menegaskan tentang pentingnya latihan dan galakan seni sama ada melalui latihan formal mahupun galakan lain di kalangan masyarakatnya. Pencapaian, kualiti serta kemudahan untuk kegiatan kesenian sering dikaitkan dengan taraf hidup dan turut dijadikan salah satu daripada kayu pengukur antarabangsa dalam penentuan tahap kemajuan sesebuah negara. Pada masa ini peranan seni telah diterima sebagai salah satu daripada elemen pembangunan negara yang berkemampuan menjana kehidupan yang berkualiti. Melalui latihan seni yang berteraskan pendidikan sesuatu masyarakat akan mampu menjelmakan modal insan yang berhemah dan bertamadun. Perkara ini telah diinsafi oleh pelbagai pihak dan melalui jentera kerajaan, mereka telah pun mengambil tindakan dalam bidang kuasa masing-masing.
2. Pelaksanaan program seni yang berkualiti tidak dapat dijayakan dengan hanya membiarkan program tersebut berjalan sendirian di sekolah-sekolah sahaja. Seni, seperti juga program pembangunan yang lainnya, perlu dibimbing, dipupuk dan dirancang secara tersusun melalui program asuhan, bimbingan dan latihan. Pencapaian cemerlang bakat seni yang tinggi di persada antarabangsa adalah satu tuntutan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan penuh komitmen oleh semua pihak yang berkaitan.
 
3. Kementerian Pelajaran Malaysia telah menggembling tenaga dan membuat  perancangan selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan serta Bab 23 Buku Rancangan Malaysia Kesembilan berkaitan dengan Memperkayakan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan ke arah mewujudkan masyarakat Malaysia yang lengkap, unggul dan prihatin terhadap seni.  Pelbagai program yang meliputi bimbingan, asuhan dan latihan telah dilaksanakan di sekolah-sekolah sejajar dengan perkembangan dalam pembangunan pendidikan yang berorientasikan kepelbagaian kemahiran dan kecerdasan supaya generasi hari ini akan lebih berupaya menghadapi realiti dunia pekerjaan yang persaingannya sangat sengit dan mencabar.
4.  Hasrat murni KPM untuk mendaulatkan Pendidikan Kesenian di sekolah adalah selaras dengan Misi dan Visi Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) ke arah melahirkan bangsa Malaysia yang kaya dengan budaya warisan dan kesenian yang luhur dan beridentiti.
5. KPM telah melaksanakan aktiviti kesenian dalam program seperti berikut:
  (i) Kesenian Dalam Pengajaran Pembelajaran,
  (ii) Kesenian Dalam Kokurikulum,
  (iii) Latihan Guru Pendidikan,
  (iv) Latihan Jurulatih Eksekutif Sekolah,
  (v) Program Apresiasi Seni,
  (vi) Program Pengantaraaan Kesenian di kalangan murid Sekolah.
6. Walau bagaimanapun, KPM berpandangan bahawa usaha ini masih belum mencapai hasrat dan niche untuk menjurus dan membantu murid-murid  memperkasakan budaya dan mengukuhkan identiti bangsa Malaysia kerana sistem pendidikan negara kita perlu menyeluruh dan ia bukan semata-mata berkisar kepada akademik semata-mata. Malahan untuk mencapai pengisian negara maju, sistem pendidikan mestilah menghasilkan masyarakat yang mengikut acuan, budaya serta bahasanya sendiri.
7. Menyedari hakikat tersebut, sudah sampai masa dan ketikanya KPM menubuhkan Sekolah Seni yang akan memberikan peluang dan ruang kepada anak-anak muda Malaysia untuk berkarya dalam bidang seni dan tidak hanya bergantung kepada kerjaya tertentu sahaja sebaliknya mereka boleh membentuk kerjaya dalam bidang seni seperti lukisan, muzik, teater dan sebagainya.
KONSEP SEKOLAH SENI
8. Definisi Sekolah Seni
        Sebuah institusi pendidikan formal satu sesi yang menyediakan kemudahan  menggilap dan menggarap potensi dan bakat diri generasi murid untuk menceburi aktiviti kesenian dan kebudayaan tanah air secara aktif dan kreatif. 
9. Falsafah Sekolah Seni
        Suatu usaha membangunkan potensi individu secara seimbang dan bersepadu melalui pendidikan kesenian yang dilaksanakan secara terancang dan sistematik.  Usaha ini adalah bagi melahirkan insan yang bertanggungjawab dan berkeperibadian mulia dalam mengamalkan budaya bangsa yang luhur dan beridentiti Malaysia.
10. Visi
        Menjadi pusat kecemerlangan pendidikan kesenian dan kebudayaan bagi melahirkan insan budayawan bertaraf dunia.

11. Misi
        11.1 Memupuk bakat dan mengembangkan potensi kesenian di kalangan murid.
        11.2 Menggalakkan penyertaan aktif murid dalam aktiviti kesenian.
        11.3 Mewujudkan kerjasama dengan pelbagai institusi dan penggiat seni.
12. Objektif
        12.1 Melahirkan murid yang seimbang dalam pencapaian akademik dan kesenian.
        12.2 Melahirkan murid yang berilmu dan berketrampilan dalam bidang kesenian.
        12.3 Menjadi tapak semaian kecemerlangan pendidikan kesenian yang beridentiti di peringkat antarabangsa.
        12.4 Melahirkan penggiat seni dan pengamal budaya yang bersahsiah tinggi.
        12.5 Melahirkan individu yang berjiwa seni dan dapat memelihara budaya bangsa.
KEMUDAHAN YANG DISEDIAKAN
13. Kemudahan yang disediakan di Sekolah Seni adalah berkonsepkan sebuah sekolah berasrama penuh. Kemudahan-kemudahan ini membolehkan murid-murid menjalani proses pengajaran dan pembelajaran akademik, latihan kesenian dan kebudayaan, serta aktiviti kokurikulum dan riadah secara berjadual dan terancang. Secara dasar, kemudahan fizikal Sekolah Seni adalah merangkumi perkara-perkara yang berikut:

 • Bangunan dan Kemudahan Asas;
 • Bangunan Kompleks Seni;
 • Peralatan; dan
 • Lanskap dan Persekitaran.

14. Bangunan dan kemudahan asas di Sekolah Seni memerlukan bangunan dan kemudahan asas yang bercirikan reka bentuk menarik dan persekitaran yang kondusif bagi murid-murid membangunkan bakat mereka dalam bidang seni, selain daripada pembelajaran akademik. Kemudahan-kemudahan ini  merangkumi:
 • Blok Akademik;
 • Blok Makmal:
 • Makmal Sains;
 • Makmal Komputer;
 • Makmal Bahasa;
 • Makmal Kemahiran Hidup;
 • Makmal Sinematogrofi;
 • Blok Asrama – Lelaki dan Perempuan;
 • Rumah Kediaman Guru dan Staf Sokongan;
 • Dewan Makan; dan
 • Padang dan Gelanggang Sukan.
 • Bas dan Coaster.
15. Kemudahan-kemudahan yang terdapat di Kompleks Seni adalah bagi tujuan persembahan hasil kerja murid, sama ada bagi maksud penilaian, mahupun persembahan apresiasi seni di peringkat sekolah. Kompleks Seni merangkumi kemudahan-kemudahan yang berikut:
 • Dewan Eksperimen (Persembahan);

  o Muzikal;
  o Teater;
  o Tarian;

 • Dewan Pameran / Galeri Seni
  o Seni Visual;
  o Reka Bentuk;

 • Bilik Tayangan;
  o Filem;
  o Video;

 • Studio Mini;
  o Rakaman;
  o Penyuntingan;
  o Adunan;

 • Studio Tarian.
 • Gelanggang Latihan.
16. Peralatan sokongan kesenian adalah merangkumi kemudahan pembelajaran dan pengajaran yang berteraskan peralatan moden sesuai dengan pembangunan dan perkembangan dalam dunia seni, teknologi dan kehidupan sosial semasa. Antaranya;

 • Kemudahan ICT;
 • Alat Penggambaran;
 • Alat Siaraya;
 • Kostum dan Prop;
 • Alat Pencahayaan;
 • Peralatan Seni Lukis;
 • Peralatan Seni Muzik;
 • Peralatan Tata Hias.
17. Lanskap dan persekitaran di Sekolah Seni sewajarnya mempunyai ciri-ciri yang kondusif dan lebih menarik bagi membangunkan suasana sekolah ke arah mendorong kreativiti dan daya penciptaan bagi murid menghasilkan karya dan persembahan seni yang berkualiti. Reka bentuk lanskap seharusnya berteraskan budaya dan nilai tempatan, sama ada secara semula jadi atau lanskap tiruan.
PENGAMBILAN MURID
18. Pengambilan murid adalah terbuka kepada semua murid sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan dari seluruh negara.  Ambilan utama terdiri daripada murid-murid Tingkatan 1.  Walaupun begitu ambilan juga dibuka bagi kemasukan di peringkat pengajian Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 atas keperluan kes-kes tertentu.
19. Kemasukan murid ke Sekolah Seni boleh dilakukan melalui beberapa kaedah seperti berikut:
 • Permohonan secara terbuka.
 • Cadangan oleh Badan Kesenian Negeri dan Kebangsaan.
 • Pemilihan berdasarkan sesi uji bakat oleh sebuah panel khas.

 Antara elemen yang akan diuji semasa ujian bakat dijalankan adalah seperti:
  o Tidak buta warna;
  o Cara komunikasi yang baik dan memuaskan;
  o Mempunyai ketrampilan dan pesonaliti yang baik.
20. Syarat Kemasukan
 Murid mempunyai bakat seni (seni visual/seni pesembahan ) yang diperakukan oleh sekolah, PPD/PPG, JPN, KPM atau mana-mana agensi yang diiktiraf oleh Kementerian Pelajaran Malaysia akan dijadikan sebagai kriteria kelayakan untuk dipertimbangkan kemasukkan ke sekolah.  Dari aspek pencapaian akademik, semua murid yang memohon akan hanya dipertimbangkan jika mencapai keputusan sekurang-kurangnya 3B dalam UPSR.

21. Panel Pemilihan dan Tawaran
 Urus setia tawaran dan pemilihan murid ialah Jabatan Pendidikan Jasmani dan Sukan. Jabatan Pelajaran Negeri akan membantu pelaksanaan saringan permohonan dan pemilihan murid.  Bahagian Sekolah akan menentukan ahli panel pemilihan murid setelah dipersetujui oleh JPJS.  Personalia yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan akan dilibatkan.
22. Enrolmen Kelas
 Bilangan murid yang boleh diterima bagi sesuatu  mata pelajaran amat bergantung kepada kemudahan yang disediakan.  Namun untuk menjamin keberkesanan proses pembelajaran dan pengajaran, Sekolah Seni (dan kelas seni) dicadangkan menerima maksimum 25 orang murid bagi kelas satu mata  pelajaran : (pertambahan kelas adalah tertakluk kepada perancangan fizikal).
SEKOLAH SENI MALAYSIA
 2 buah Sekolah Seni Malaysia yang telah di tubuhkan :

1. SEKOLAH SENI MALAYSIA KUCHING
    Jalan Demak
    93050 Kuching
    Sarawak
    Tel : 082-449586
    Faks : 082-449605
    Web / Blog : http://sskuching.blogspot.com/
    E-Mel : sskuching@yahoo.com
2. SEKOLAH SENI MALAYSIA JOHOR BAHRU
    Jalan Abdul Samad,
    80100 Johor Bahru
    Tel :07 2262100
    Fax : 07 2263100
    Web /Blog : http://sekolahsenijohorbahru.webs.com/

Monday, June 6, 2011

KEJOHANAN BOLING HARI GURU TAHUN 2011

KEJOHANAN BOLING HARI GURU TAHUN 2011
PIALA PEJABAT PELAJARAN DAERAH GOMBAK
ANJURAN BERSAMA
PPD GOMBAK DAN WANGSA BOWL SELAYANG MALL

SYARAT PERTANDINGAN
                                       
1.                   Syarat Wajib - Setiap pasukan diwakili oleh empat(4) orang peserta yang terdiri daripada seorang pentadbir (PPPD/Pengetua/Guru Besar/Penolong Kanan) termasuk seorang peserta perempuan.

2.                   Peserta mestilah di kalangan guru dan hanya boleh mewakili pejabat/sekolah tempat berkhidmat semasa.

3.                   Hanya 32 pasukan pertama yang mengesahkan pendaftaran beserta wang penyertaan yang akan disenaraikan menyertai kejohanan ini.  Setiap sekolah dibenarkan menghantar satu pasukan sahaja (Pengesahan melalui panggilan talipon dan pesanan ringkas tidak diterima ).

4.                   Jika ada sekolah yang menghantar lebih daripada satu penyertaan, pasukan selebihnya akan diterima bertanding sekiranya ada kekosongan lorong.

5.                   Bayaran pendaftaran ialah sebanyak RM100.00 bagi setiap pasukan.

6.                   Setiap pemain akan bermain sebanyak 3 game seorang.

7.                   Johan keseluruhan akan ditentukan dengan jumlah jatuhan pin dan adalah berdasarkan kepada
jumlah ‘scratch’ dan tiada handicap akan diberikan.

8.                   Syarat-syarat permainan akan berpandukan syarat-syarat yang diguna pakai oleh Persatuan Tenpin Boling Kebangsaan (MTBC).

9.                   Tarikh akhir penyerahan borang pendaftaran ialah pada hari  Rabu 22hb Jun 2011 sebelum jam 5.00 petang beserta pembayaran wang penyertaan kejohanan kepada Pengerusi Teknik Kejohanan Boling Hari Guru Piala PPD Gombak Tahun 2011. ( u.p: En. Ramli Bahruddin )

10.               Jika terdapat pasukan yang menarik diri di saat-saat akhir, wang pendaftaran tidak akan dikembalikan.

11.               Syarat-syarat yang tidak tertera di atas adalah tertakluk kepada keputusan pihak Pengurusan, PPD. Gombak dan SK Selayang Utama selaku penganjur dan sebarang keputusan yang di buat adalah muktamad.

12.               Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada En. Ramli Bahruddin, Penyelia Pendidikan Swasta PPD. Gombak melalui talipon bimbit 012-3058850 atau Urusetia Kejohanan, SK Selayang Utama melalui talipon bimbit En. Rosmizam – 0123555111 atau Ustaz Hafiz – 0192482483.